KANGAR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar orang ramai tidak memilih dan mempersoal jenis mahupun jenama vaksin COVID-19 yang akan diterima mereka.

Ini kerana kesemua vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Jelasnya, semua jenis vaksin yang akan digunakan juga telah disahkan selamat, berkesan dan efektif untuk keseluruhan rakyat Malaysia dalam usaha mencegah pandemik COVID-19.

Tambah Muhyiddin, proses pemberian vaksin yang diyakini dijalankan dalam keadaan teratur juga dilihat mampu menjadi platform terutama dalam memulihkan semula sektor ekonomi negara.

"Jadi kita tak payah tanya vaksin apa, apa nama Pfizer ke Astrazeneca, semuanya sudah diuji oleh NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency), ini badan yang akan mengesahkan bahawa vaksin ini selamat.

"Aplikasinya bagus dan juga ia berkesan, efektif ini semua yang sudah dipakai ini adalah yang sudah diluluskan dan saya yakin bila ini dilaksanakan dengan teratur dan tersusun oleh jawatankuasa pengurusan vaksinasi yang telah dijalankan sekarang ini kita harap maka ia akan memberikan banyak kelebihan, antara kelebihan itu ialah supaya ekonomi negara kita cepat pulih," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau pada Jumaat.

Tambahnya, selepas ini kerajaan akan menetapkan sasaran hampir keseluruhan rakyat Malaysia menerima vaksin COVID-19 iaitu sebanyak 80 peratus yang mana tidak melibatkan individu yang berusia dibawah 18 tahun.

Beliau menyifatkan, sekiranya usaha ini dapat direalisasikan, kerajaan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pembangunan dan pemulihan semula pelbagai sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Tambah Muhyiddin, rakyat Malaysia yang ingin keluar negara berkemungkinan perlu mendapatkan pengesahan vaksin di pasport masing-masing sebelum menerima kebenaran bagi tujuan berkenaan.

"Jadi sebab itu saya hendak mengajak rakyat kita semua tampil ke depan untuk mendaftar dengan seberapa segera, jangan tunggu lambat-lambat kerana nanti akan sampai masa kalau hendak berjalan ke mana-mana keluar negara pun mungkin mereka hendak lihat ada tak passport, dah vaksin? Jadi kalau siap yang dah vaksin mungkin dia akan diberikan kemudahan untuk perjalanan.

"Sekarang ini kita tidak benarkan rentas negeri. Rentas negeri tidak boleh, rentas daerah boleh tetapi kalau semua dah selesai suntik bolehlah ke mana-mana. Naik bas boleh, naik apa boleh, jadi saya percaya di Perlis tidak jadi masalah," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mahu ahlinya menjadi antara penerima awal vaksin COVID-19, Muhyiddin berkata, mereka boleh membuat permohonan itu kepada Jawatankuasa Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi dipertimbangkan.

24 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Perdana Menteri menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya adalah hingga April depan.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan suntikan itu adalah seperti suntikan biasa selain menyatakan keyakinan bahawa vaksin tersebut cukup selamat dan berkesan.