Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan gambar-gambar yang diubah suai, berita-berita yang tidak sahih atau sebarang spekulasi mengenai siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), penyebaran itu termasuk menerusi semua platform laman sosial termasuk aplikasi pesanan WhatsApp.

"Adalah menjadi satu kesalahan bila berkongsi atau menyebarkan perkara-perkara atau kandungan sedemikian kerana ia mungkin melanggar undang-undang khususnya Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika didapati bersalah, hukumannya adalah denda tidak melebihi RM50,000 dan atau tidak lebih satu tahun penjara," kata kenyataan itu.

Pada Rabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Hussein menggesa semua pihak tidak memperbesarkan isu tuduhan The Wall Street Journal terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menyerahkan kepada pasukan petugas khas melakukan siasatan mereka.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO yakin isu itu dapat diselesaikan dengan segera kerana pasukan itu dianggotai di kalangan individu berkaliber.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga menyatakan kes pembunuhan pengasas Kumpulan Arab Malaysian Banking (kini AmBank), Hussain Ahmad Najadi tiada kena-mengena dengan siasatan yang dilakukan ke atas 1MDB.