Keputusan, dasar serta pendirian menghalang dan menyekat pemilikan hartanah oleh warga asing seperti di Forest City, dekat sini, tidak seharusnya bersifat eksklusif kepada Johor semata-mata.

Menyatakan demikian, Pengerusi Majlis Dasar Awam UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebaliknya, ia haruslah mencerminkan dasar sebenar kerajaan secara umum terhadap hartanah milikan asing di Malaysia keseluruhannya.

"Ia tidak boleh dilakukan secara terpilih. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan tidak memberikan penjelasan tentang sebarang dasar baharu negara yang akan dilaksanakan untuk mengawal pemilikan hartanah oleh warga asing," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Mohamed Khaled, yang juga bekas Menteri Besar Johor, berkata kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa warga asing tidak akan dibenarkan membeli hartanah di Forest City sama sekali tidak memeranjatkan dan Dr Mahathir sememangnya konsisten dalam bantahan beliau terhadap pembangunan hartanah di Forest City dari dahulu lagi.

"Adalah diakui bahawa keputusan untuk mengekang milikan hartanah oleh warga asing bukanlah dasar yang asing kepada sesebuah kerajaan. Banyak negara termasuk negara maju seperti New Zealand telah memperkenalkan dasar seumpama itu.

"Namun, ia dilaksanakan secara jelas, terancang, teratur dan berperlembagaan. Bukannya secara tiba-tiba melalui satu pengumuman yang hanya dikhususkan kepada satu projek hartanah tertentu sahaja," katanya.

Menurut Naib Presiden UMNO itu, jika keputusan menyekat pemilikan oleh warga asing ke atas hartanah di Forest City tersebut diteruskan, ternyata ia adalah keputusan yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya Johor.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri pada Selasa menjelaskan bahawa warga asing dibenarkan memiliki hartanah di Malaysia, asal saja syarat-syarat tertentu dipenuhi.

"Mengenai hartanah dibeli oleh warga asing, tidak kira bangsa, Malaysia mengenakan syarat-syarat tertentu dan maklumat mengenai syarat-syarat ini boleh didapatkan oleh orang ramai," kata JPM dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan.

JPM menyatakan orang asing boleh memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat mastautin tetap di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H).

Kenyataan itu bagaimanapun menjelaskan bahawa pembelian hartanah itu tidak secara automatik menjamin mastautin di negara ini. -- Bernama