Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada pemberian orang lain sebalik perlu berusaha sendiri dalam memajukan diri masing-masing.

Perdana Menteri berkata bergantung kepada pemberian orang lain boleh melemahkan jiwa seseorang.

"Kita akan jadi lemah kerana bergantung kepada orang lain bila tidak ada orang lain kita akan jatuh kerana tidak ada keupayaan untuk mempertahankan diri kita.

"Sebab itu walaupun dalam bulan puasa ini kita menghulur duit raya umpamanya tetapi jangan jadi ia sebagai punca pendapatan. Belajar cari duit sendiri jangan bergantung kepada orang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan di Masjid Nurus Salam, Kampung Ewa, di sini malam tadi.

"Kita sedar bahawa pada bulan puasa kita perlu menghulur derma kepada orang-orang yang tidak berkeupayaan seperti kepada mereka yang sakit.

"Kita perlu beri derma tetapi bagi orang yang sihat lebih baik lagi kalau berusaha sendiri untuk membekalkan diri dengan duit ringgit dan sebagainya," katanya.


Hadir sama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

Pada majlis tersebut Dr Mahathir dan isterinya turut menyerahkan sumbangan hari raya oleh Jetty Point Langkawi kepada 150 anak-anak yatim, pelajar Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan asnaf Kampung Ewa.

Dr Mahathir, yang juga Anggota Parlimen Langkawi, turut menyerahkan sumbangan progam pendidikan oleh Yayasan MRCB kepada tiga buah sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Ayer Hangat, Sekolah Kebangsaan (SK) Ewa dan SK Penghulu Ahmad.

-- BERNAMA