Rakyat Malaysia dinasihatkan jangan mudah tertipu dengan tawaran lumayan 'kerja sambilan' seperti memetik buat dan sebagainya di luar negara, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, kata beliau, sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mencari rezeki di luar negara, harus terlebih dahulu menyemak latar belakang sesuatu pekerjaan termasuk kesahihan tawaran yang diberikan.

"Siapa pun yang nak mencari kerja di luar sana macam di Australia, dia kena semak dahulu, sebab kadang-kala ada orang menaja di mana dia pungut duit dengan tujuan supaya mereka ini masuk kerja di sana.

"Tapi mungkin tidak berikan maklumat tepat bila masuk ke sana mereka tidak mempunyai dokumen dan syarat yang ditetapkan maka mereka ditahan," katanya dalam sidang media Sambutan Hari Imigresen 2018 di Putrajaya, pada Isnin.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas laporan lapan rakyat Malaysia yang ditahan di Pasukan Kawalan Sempadan Australia (ABF) pada Ahad.

Dua daripada mereka disyaki terbabit dalam pengurusan sebuah sindiket eksploitasi pekerja di negeri New South Wales.

Kesemua lapan rakyat Malaysia yang ditahan ketika ini ditempatkan di depoh tahanan Imigresen, sementara menunggu dihantar pulang

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, beliau menunggu laporan lengkap dari Kedutaan Malaysia di Australia mengenai kes tersebut.

"Kementerian Luar biasa akan dapatkan maklumat dan lepas itu kita akan tengok apa yang boleh buat untuk bantu mereka," jelas beliau.