KUCHING: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menyeru masyarakat Dayak di Sarawak untuk tidak melakukan ziarah ke rumah semasa Hari Gawai ini.

Presidennya, Datu Ik Pahon Joyik berkata garis panduan sambutan Hari Gawai pada 1 Jun nanti jelas menunjukkan usaha bagi mengekang kes positif COVID-19 yang semakin meningkat di Sarawak.

“Saya berharap masyarakat kita sudah sedia maklum mengenai varian COVID-19 yang membawa maut terutamanya dengan kemunculan varian seperti varian India, Afrika Selatan, Brazil dan United Kingdom yang sudah ada di Malaysia.

“Kita mempunyai pilihan sama ada untuk meraikan kegembiraan Gawai atau kesedihan disebabkan oleh COVID-19,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk melakukan keputusan yang mementingkan kesihatan diri dan orang yang tersayang.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) turut mengingatkan kita tentang katil ICU dan fasiliti kesihatan yang lain yang telah hampir mencapai penggunaan maksimum.

“Oleh itu, jangan adakan ziarah dan sambutan Gawai secara besar-besaran kerana kita pasti dapat lakukan perubahan,” ujarnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 21 Mei lalu mengeluarkan garis panduan perayaan Gawai 2021 yang membenarkan sambutan dilakukan sehari sahaja iaitu pada 1 Jun 2021,

Sambutan pula terhad kepada anggota keluarga di dalam rumah yang sama sementara penghuni rumah Panjang hanya dibenarkan menyambutnya di dalam bilik masing-masing.

Aktiviti ziarah atau ngabang dan balik kampung tidak dibenarkan sama sekali.