KOTA KINABALU: Jangkitan di tempat kerja mencetus dua lagi kluster baharu di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurutnya, Kluster Brumas Camp, Kalabakan yang melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja.

"Kes indeks adalah guru lelaki di SK Brumas, 50 tahun, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Ubudiyah di Perumahan Brumas Camp dalam Ladang Perkayuan Sabah Softwood. Dia disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 Jun.

"Sehingga 22 Jun, saringan yang dijalankan terhadap 75 kontak kemudian mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan AJK masjid yang tinggal di perumahan tersebut.

"Isteri serta dua orang anak kepada kes indeks turut disahkan positif COVID-19," katanya dalam kenyataan media laporan harian COVID-19 Sabah, pada Khamis.

Pengesanan kontak rapat serta siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan masih dijalankan.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri mengenai COVID-19 berkata, satu lagi kluster ialah Kluster Paris Tiga yang dikesan di daerah Kinabatangan melibatkan penularan jangkitan di sebuah kilang sawit.

"Kes indeks merupakan seorang kerani wanita berusia 41 tahun yang bergejala sejak 7 Jun lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada 14 Jun, sebelum disahkan positif COVID-19 melalui ujian saringan RT-PCR pada 18 Jun.

"Susulan kes itu, saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif dalam kalangan penduduk perumahan kilang terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kes," katanya dalam kemas kini laporan harian COVID-19 Sabah pada Khamis.

Katanya, semua kes positif telah menjalani penilaian dan pemeriksaan di Hospital Kinabatangan dan seterusnya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah Kinabatangan.

Selain itu, sebanyak 203 kes positif baharu dilaporkan pada Khamis serta satu kes kematian direkodkan di daerah Kota Kinabalu.

Daripada 203 kes jangkitan baharu yang dilaporkan, 112 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 68 kes adalah daripada saringan kluster, 10 kes adalah daripada saringan bergejala dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.