Skip to main content

Dunia

11 lagi maut akibat demam campak di Bangladesh, hampir 500 kematian sejak Mac

AP
Dalam tempoh 24 jam lepas, pihak berkuasa merekodkan 54 kes disahkan dan 1,261 kes membabitkan simptom seperti campak. - AP

DHAKA: Bangladesh pada Jumaat melaporkan 11 lagi kematian berkaitan demam campak dan simptom seperti campak, menjadikan jumlah kematian sejak pertengahan Mac kepada 499, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Daripada angka kematian itu, 85 ialah kes campak yang disahkan secara perubatan, menurut Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan (DGHS).

Dalam tempoh 24 jam lepas, pihak berkuasa merekodkan 54 kes disahkan dan 1,261 kes membabitkan simptom seperti campak, meningkatkan jumlah jangkitan yang disahkan kepada 8,329 dan kes yang disyaki kepada 60,540.

Campak ialah penyakit virus yang sangat berjangkit dan memberikan kesan terutamanya kepada kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi teruk, termasuk radang paru-paru, keradangan otak dan kematian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan atau tidak divaksin.

Ia kekal sebagai antara punca utama kematian kanak-kanak yang boleh dicegah dengan vaksin di seluruh dunia.

Negara Asia Selatan dengan 175 juta orang itu bergelut untuk mengesahkan jangkitan dengan segera kerana kekurangan kit ujian.

Semasa wabak di seluruh negara, ibu kota Dhaka kekal sebagai kawasan paling teruk terjejas dengan 210 kematian, termasuk 50 kematian akibat campak yang disahkan, menurut DGHS.

Kementerian Kesihatan telah memberikan vaksin kepada lebih 18.43 juta kanak-kanak berbanding sasaran awal kerajaan sebanyak 18 juta yang ditetapkan menerusi perundingan dengan UNICEF, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan pembangunan lain.

Bulan lepas, WHO memaklumkan wabak itu didorong oleh penurunan liputan vaksin, terutamanya berikutan kekurangan vaksin di seluruh negara antara 2024 dan 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement