MALAYSIA
JAS kenakan tindakan POK terhadap kilang beroperasi secara haram di Sungai Petani

Sharifah Zakiah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18(1), Seksyen 34A (6) dan Seksyen 34B (1) akta yang sama. - Gambar Facebook Jabatan Alam Sekitar
ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap sebuah kilang yang disyaki menjalankan aktiviti penempatan dan pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani, hari ini.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata menerusi Ops Gempur yang dilaksanakan pada 9 pagi hingga 1 tengah hari tadi, pihaknya mendapati kilang berkenaan telah menjalankan aktiviti secara haram tanpa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta lesen daripada JAS.
"Hasil pemeriksaan menemui lebih kurang 100 tan metrik bateri terpakai yang mengandungi lithium dan lebih kurang 317 tan metrik bateri terpakai yang telah dihancurkan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual.
"Selain itu, lebih kurang 20 metrik tan serbuk logam yang telah diperoleh kembali turut ditemui di kilang berkenaan semasa serbuan dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.Beliau berkata kilang itu telah diambil tindakan POK mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 ke atas mesin pengeluaran yang diguna pakai dalam premis tanpa sebarang alat kawalan dan kebenaran JAS.
Sharifah Zakiah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18(1), Seksyen 34A (6) dan Seksyen 34B (1) akta yang sama.
Beliau berkata JAS Kedah akan terus memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti perindustrian termasuk kilang pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram yang juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan masalah kesihatan kepada orang awam.
"JAS menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau http://eaduan.doe.gov.my," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami