PERMATANG PAUH: Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Pulau Pinang mengesan sebuah tapak pelupusan haram yang menempatkan sisa pepejal, sisa binaan dan sisa disyaki buangan terjadual di kawasan sawah padi di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pengarah JAS negeri, Sharifah  Zakiah Syed Sahab berkata, semua sisa buangan tersebut ditemui di belakang kawasan perumahan dekat Jalan Kubang Semang pada 15 Februari lepas.

Menurutnya, JAS pada mulanya menerima aduan penduduk berhubung pembakaran terbuka  di kawasan tersebut, bagaimanapun semasa siasatan dijalankan pasukan penyiasat menemui satu tapak pelupusan haram tersebut.

“Sebanyak tiga puluh buah beg jumbo yang mengandungi sisa industri telah dilupuskan secara haram di kawasan sawah padi yang terletak di belakang kawasan pembakaran terbuka sampah sarap sisa binaan  diatas tanah seluas 2 ekar.

“Sampel bahan buangan di tapak pelupusan telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisa,” katanya.

Sebanyak tiga puluh buah beg jumbo yang mengandungi sisa industri telah dilupuskan secara haram di kawasan sawah padi. - Foto JAS Pulau Pinang

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, pihak JAS sudah mengenal pasti premis pengeluar bahan buangan tersebut termasuk pemilik tanah, penyewa serta pihak lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, kesemua pihak yang dikenal pasti itu dipanggil untuk beberapa siri rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

“Menerusi perbincangan dengan pihak terlibat iaitu premis pengeluar serta penyewa telah bersetuju untuk menanggung kos pembersihan dan pelupusan serta lain-lain kos berkaitan.

“Semua sisa yang telah tercemar dengan buangan terjadual akan dihantar ke tapak pelupusan akhir sisa berjadual di Kualiti Alam Sdn Bhd untuk pelupusan manakala untuk buangan sisa pepejal biasa, pemilik tanah telah diarahkan untuk melupuskan buangan itu di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Burung,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

JAS turut memaklumkan berhubung kewujudan tapak pelupusan haram itu kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tindakan lanjut. - Foto JAS Pulau Pinang



Sharifah Zakiah berkata, pihaknya turut memaklumkan berhubung kewujudan tapak pelupusan haram itu kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan JAS, didapati bahawa pemilik dan penyewa tanah telah melakukan tambakan tanah menggunakan sisa buangan bagi tujuan pembinaan bangunan tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya lagi.

Susulan insiden tersebut, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 yang membawa hukuman maksima RM500,000 serta mandatori penjara tidak lebih lima tahun serta Seksyen 24b akta sama  yang membawa hukuman maksima RM100,000 atau lima tahun penjara.