KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform perdebatan yang menyalahi undang-undang terutama melibatkan kandungan berbaur hasutan dan bersifat provokatif.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk M. Kumar berkata sejak kebelakangan ini, media sosial sering dijadikan medan interaksi untuk menyebarkan hantaran dan komen berbaur hasutan, serta ruang berdebat mengenai dasar kerajaan dan isu semasa sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna.
Advertisement
Beliau berkata trend itu bukan sahaja menjejaskan keharmonian dalam ruang siber, malah mewujudkan ekosistem maya yang tidak sihat serta berisiko mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat jika tidak dibendung melalui penguatkuasaan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang melarang sebarang perbuatan, ucapan atau penerbitan yang berkecenderungan menghasut atau menimbulkan kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan.
“Menurut Seksyen 3(1)(a) Akta 15, sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
M. Kumar berkata menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah, bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini sebanyak 30 kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, iaitu melakukan atau cuba melakukan apa-apa perbuatan atau perkataan yang menghasut terhadap institusi diraja, kaum, pentadbiran keadilan dan kerajaan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menyebarkan kenyataan berunsur penghinaan, fitnah atau provokasi yang berpotensi menggugat keharmonian, keamanan dan ketenteraman awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan, atau perkhidmatan rangkaian serta perkhidmatan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat, di samping dapat memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial serta kestabilan negara.
-- BERNAMA