PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan pengimportan sisa elektronik (e-sisa) bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat transit atau pelupusan e-sisa dari negara maju.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sejak Januari hingga November lepas, sebanyak 31 daripada 59 kontena yang ditahan JAS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dikenal pasti membawa barang dagangan e-sisa tanpa kelulusan.

JAS mengeluarkan 18 Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi mengarahkan kontena-kontena tersebut dipulangkan semula ke negara asal kerana membawa barang dagangan berisi e-sisa tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu.

"Sehingga kini, sebanyak 19 kontena dipulangkan semula ke negara asal seperti Amerika Syarikat, Sepanyol, Australia, Belgium dan Jepun," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mengadakan pemeriksaan operasi membanteras dagangan e-sisa di Port Klang, Selangor hari ini.

Berdasarkan Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya, semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual seperti e-sisa perlu mempunyai kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, transhipment, import dan eksport dijalankan.

Nik Nazmi berkata berdasarkan maklumat JKDM, tiga kontena lain yang diperiksa di Pelabuhan Barat, Klang pada 8 Dis lepas juga didapati mengandungi bahan buangan yang diimport dari Amerika Syarikat dan Sepanyol.

"Bahan buangan itu ialah perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik (SW 110) atau e-sisa.

"Pemeriksaan mendapati pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai skrap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya menambah Notis Arahan akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena-kontena tersebut ke negara asal.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil ke atas pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena e-sisa import tersebut ke negara asal selaras dengan Artikel 9, Konvensyen Basel.

"Malaysia mempunyai hubungan yang baik dan erat dalam kalangan ahli Konvensyen Basel dalam membanteras aktiviti pengimportan haram buangan terjadual rentas sempadan.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana agen, syarikat perkapalan yang mengimport sebarang e-sisa ke Malaysia akan berdepan dengan tindakan tegas," katanya.

-- BERNAMA