GEORGE TOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerima 40 Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi 27 projek untuk dinilai bagi aktiviti yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 laporan atau 37 peratus telah diluluskan membabitkan projek perumahan, pengolahan dan pelupusan sisa serta estet perindustrian.

"Sebanyak 25 lagi membabitkan 12 projek tidak lulus kerana beberapa sebab antaranya laporan EIA masih tidak lengkap dari segi teknikal dan belum mematuhi ulasan-ulasan daripada agensi berkaitan. Antara projek yang ditolak membabitkan projek cerun dan kuari.

"Bagi 12 projek yang tidak diluluskan itu, kami terima lebih daripada satu EIA kerana ada yang menghantar dua hingga tiga laporan (EIA) namun semuanya ditolak berikutan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar Sempena Hari Bumi 2023 di sini pada Isnin.

Beliau berkata bagi meningkatkan keberangkalian laporan EIA diluluskan, pihak perunding dan pemaju sewajarnya memastikan kajian EIA telah mematuhi segala keperluan yang ditetapkan sebelum laporan dikemukan kepada JAS untuk pemprosesan.

Sharifah Zakiah berkata antara kelemahan yang diperhatikan pihaknya ialah terdapat sebilangan laporan dikemukakan tidak mengambil kira keperluan polisi, struktur pelan, guna tanah termasuk zon penampan.

Katanya terdapat juga laporan pramatang yang dikemukakan secara kaedah 'percubaan dan kesilapan' iaitu terdapat perkara yang belum dikaji, belum selesai dikaji atau belum mendapat kelulusan dasar pihak tertentu tetapi telah dikemukan kepada JAS.

"Bila laporan dikemukakan tanpa maklumat lengkap dan piagam lima minggu telah dicapai maka tentulah laporan EIA tersebut ditolak. Walaupun ia diproses secara percuma oleh JAS, penyediaan serta pengemukaan semula laporan secara berulang-ulang hanya meningkatkan kos dan masa kepada pemaju serta semua pihak terlibat," katanya.

Beliau berkata EIA merupakan satu kajian yang telah diakui di seluruh dunia kerana ia bersifat terbuka dan memberi ruang sewajarnya kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk memberikan pandangan mereka malah JAS juga mengambil kira ulasan agensi-agensi teknikal.

"JAS juga melantik pakar yang mahir dalam bidang masing-masing untuk memberikan penilaian teknikal secara berkecuali, macam JAS Pulau Pinang, kita pernah melantik beberapa panel pakar bagi memberikan input untuk menilai laporan EIA bagi cadangan pembangunan di kawasan cerun serta kawasan yang mungkin mempunyai impak," katanya. - BERNAMA