Jasad 13 rakyat Malaysia mangsa nahas bas di Chiang Mai pada Ahad lalu dijangka tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 3 pagi Rabu.

Menurut sumber Bahagian Komunikasi Korporat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), pesawat TUDM C-130 dijangka berlepas dari Chiang Mai pada 10.30 malam ini (waktu Thailand).

Menurut sumber lagi, selain pesawat TUDM, pesawat Tentera Udara DiRaja Thailand (RTAF) juga akan melakukan penerbangan ihsan.

VIDEO: Waris 13 rakyat Malaysia maut di Chiang Mai dibayar RM200,000

BACA: 15 waris mangsa kemalangan bas Thailand dibawa ke Chiang Mai

BACA: Sultan Johor zahir takziah pada keluarga mangsa kemalangan bas di Chiang Mai

Penerbangan ihsan itu akan membawa pulang kesemua 13 jasad dan sembilan rakyat Malaysia yang cedera serta waris-waris mereka.

Terdahulu, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain berkata waris mangsa yang terkorban itu kini berada di Maharaj Nakorn Chiang Mai Hospital di Chiang Mai.

Mereka turut membantu dalam proses pengecaman mayat.

Menurut laporan, bas yang membawa 22 warganegara Malaysia terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan Ahad.