IPOH: Jasad Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura pada Rabu disemadikan dengan cara dibakar di Krematorium Buntong, di sini, Jumaat.

Jasad mendiang dibawa dari kediaman keluarganya di Taman Indah, Tanjung Rambutan dengan menaiki van dan tiba di krematorium itu kira-kira jam 4 petang.

Suasana hiba menyelubungi kawasan berkenaan  apabila ahli keluarga dan kenalan mendiang yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir, tidak dapat menahan kesedihan sejurus melihat jasad mendiang.

Terdahulu, upacara keagamaan berlangsung selama sejam yang turut diiringi dengan pukulan gendang sebagai memulakan upacara.

BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung awal pagi tadi

BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung: Ini apa yang perlu diketahui

Jasad Nagaenthran kemudiannya dibawa ke pusat pembakaran untuk proses persemadian mengikut cara dibakar pada jam 5 petang.

Suasana hiba menyelubungi kawasan berkenaan apabila ahli keluarga dan kenalan mendiang hadir untuk memberi penghormatan terakhir. - Foto Astro AWANI

Rabu lalu, jasad Nagaenthran dituntut adiknya Navin Kumar, 22, di Penjara Changi dan dibawa dari Johor Bahru, Johor ke Ipoh, Perak dengan menaiki van.

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan Panchalai untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Nagaenthran, 34, dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.