Jasad remaja lelaki yang dipercayai maut lemas di Sungai Changkat Meranti-Sungai Wangi di sini telah ditemui oleh pasukan bomba pada awal pagi Ahad.

Mangsa, Mohd Alif Haikal Kamarulzaman ,14, dipercayai sedang memancing bersama rakannya dan cuba untuk mencapai batang pancing di bahagian tengah sungai yang sudah mula pasang aras airnya.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat(SAR) Sitiawan, Penguasa Bomba Mohd Zaki Zainol berkata mangsa kemudiannya dihanyutkan arus deras ketika berbuat demikian sebelum dipercayai maut lemas pada petang Sabtu.

"Mayat mangsa ditemui timbul di kawasan permukaan air sekitar 20 meter dari lokasi beliau dipercayai hanyut dek arus sungai sekitar pukul 03.30 pagi,"ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada pagi ini.

Mohd Zaki berkata sewaktu kejadian kedalaman air dianggarkan naik sekitar 15 hingga 20 meter.

Jelasnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya

" Kita telah membuka pusat operasi termasuk melaksanakan teknik pemantauan mencari di permukaan secara berkala setiap sejam.

" Kita turut mendapat bantuan daripada EMRS, BBP Pangkor, PDRM,Rela dalam melaksanakan operasi bersama,"ujarnya.