KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari bahawa bekas peguam 1MDB Jasmine Loo adalah seorang saksi penting untuk mendedahkan semua isu berkaitan Tanore Finance Corporation.

Tanore ialah sebuah entiti yang telah memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu dan dikatakan dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau rakannya Eric Tan Kim Loong.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min bersetuju dengan cadangan peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa testimoni Loo boleh membawa kesan buruk atau membantu pembebasan Najib dalam konteks pengetahuan Loo mengenai operasi Tanore.

Foo berkata beliau memperoleh semua maklumat ini daripada Loo semasa siasatan selepas wanita berusia 49 tahun itu menyerah diri kepada polis pada Julai lepas tetapi Foo menegaskan beliau hanya menyiasat Loo mengenai isu pemulangan aset 1MDB.

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada saksi ke-48 pendakwaan itu sama ada beliau mengetahui Loo ada berhubung dengan Jho Low mengenai Tanore.

Foo berkata Loo sering berhubung dengan Jho Low lebih lima tahun sejak ahli perniagaan itu melarikan diri tetapi Loo berkata ia bukan untuk membincangkan mengenai Tanore.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu Loo berjumpa Jho Low tidak lama dahulu? Jho Low dengan beberapa pegawai 1MDB sebelumnya? Azmi Tahir (bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB dan saksi pendakwaan ke-12 1MDB) ada di sana.

Foo: Daripada kenyataan yang diberikan, beliau berjumpa Jho Low di China pada 2019 dan bersama-samanya ialah beberapa pegawai 1MDB.

Muhammad Shafee: Anda tahu Loo dan Jho Low adalah sangat rapat.

Foo: Daripada apa yang saya tahu Loo adalah pembantu peribadi kepada Jho Low ke mana beliau pergi, beliau akan menghubungi Loo dan wanita itulah yang mengaturkan perjumpaan untuk Jho Low.

Terdahulu, Muhammad Shafee menyoal Foo mengenai empat surat daripada kerabat diraja Arab Saudi mengenai sumbangan dana yang dijanjikan kepada Najib.

Peguam itu memberitahu Foo selaku pegawai penyiasat kes itu, beliau tentu sudah melihat empat surat itu dengan tarikh bila wang itu akan dihantar dan bagaimana ia akan dihantar, menerusi Blackrock Commodities dan Tanore.

Foo berkata beliau mengesahkan wang itu datang daripada kerabat diraja Arab Saudi tetapi tidak boleh dipastikan sama ada ia benar-benar merupakan derma.

Muhammad Shafee: Adakah anda menyiasat ketulenan surat-surat itu?

Foo: Saya cuba menyiasat dan menghubungi pihak diraja Arab Saudi melalui bantuan perundangan bersama menerusi polis tetapi tidak berhasil. Tiada maklum balas dan mereka tidak mahu bekerjasama dengan kami.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah brsambung pada 5 Dis ini.

-- BERNAMA