Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

Jatuh asrama: Pelajar dibenar keluar hospital, keterangan belum selesai - Polis

Hasimi Muhamad 02/10/2025 | 11:20 MYT
Shazeli berkata polis masih belum menyelesaikan proses mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan kerana enggan memberi tekanan kepadanya. - Foto Astro AWANI/Ikqwan Lee
SHAH ALAM: Pelajar yang dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam pada 24 Ogos lalu, telah dibenarkan keluar hospital pada 20 September.


Ringkasan AI
  • Pelajar lelaki berusia 15 tahun yang jatuh dari tingkat tiga asrama di Sabak Bernam pada 24 Ogos lalu telah dibenarkan keluar hospital pada 20 September dan kini menunjukkan perkembangan positif.
  • Polis masih belum mengambil keterangan penuh daripada pelajar kerana faktor mental dan kecederaan kepala; kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
  • Kes melibatkan lebih 12 individu yang telah diambil keterangan, termasuk pelajar, guru dan warden, dengan beberapa petunjuk penting diperoleh bagi membantu siasatan.


Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata proses pemulihan pelajar tersebut menunjukkan perkembangan yang positif.

"Keadaan pelajar tersebut semakin positif dan proses pemulihannya boleh berjalan serta bercakap. Walaupun tidak lancar tetapi dari segi pemakanannya belum teratur lagi," katanya dalam sidang media mengenai Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Mes Pegawai Kanan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Shazeli menambah pihaknya masih belum menyelesaikan proses mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan kerana enggan memberi tekanan kepada mentalnya.

"Keterangan penuh daripada pelajar belum selesai sebab sekarang masih dalam bentuk perbualan, sebab keadaan mentalnya tidak berapa pulih sebab kecederaan di kepala. Jadi kami ambil pendekatan untuk tidak memberi tekanan kepada mangsa," jelasnya.
Kata beliau lagi, kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Media sebelum ini melaporkan pelajar lelaki berusia 15 tahun terbabit dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama berkenaan sebelum menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.

Polis dilaporkan telah merakam keterangan lebih 12 individu termasuk pelajar, guru dan warden asrama, selain memperoleh beberapa petunjuk penting bagi membantu siasatan.





#Pelajar jatuh asrama Sabak Bernam #Polis Selangor #berita dalam negara #Datuk Shazeli Kahar #buli #terkini