Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf kecewa dengan sikap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan mengenai isu wang derma berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya fikir jawapan dia tidak bertanggungjawab. Saya kecewa," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Nur Jazlan sepatutnya memikirkan jawapan lebih sesuai daripada memberikan alasan enggan mengulas kerana sudah tidak lagi menganggotai PAC.

"Beliau (Nur Jazlan) perlu tahu memberi jawapan yang lebih bijak daripada mengelak menjawab pertanyaan para wartawan.

"Sebagai bekas Pengerusi PAC, kita ingin mendengar cadangan bernas daripadanya," ujar Yusmadi.

Yusmadi juga turut mempersoalkan tindakan Nur Jazlan yang disifatkan seperti 'cuci tangan' selepas ditawarkan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baharu.

Saya fikir jawapan dia tidak bertanggungjawab. Saya kecewa.

Ini memandangkan Nur Jazlan sepatutnya menyelesaikan beberapa perkara membabitkan PAC sebelum menerima tawaran jawatan di dalam kabinet.

"Selain berdepan masalah kepimpinan, mengapa dia terima tawaran jawatan itu. Sepatutnya selesaikan isu dihadapi PAC. Selesaikan unfinished business terlebih dahulu," katanya lagi.

Yusmadi mencadangkan satu Suruhanjaya Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyelesaikan siasatan membabitkan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development (1MDB) dan SRC International.

Sebelum ini, Nur Jazlan yang ditemui wartawan memaklumkan beliau merasakan kurang sesuai untuk mengulas mengenai perkara membabitkan siasatan PAC.

Beliau pada masa sama berharap pengerusi PAC yang baharu dapat melakukan tugas dengan baik dan menyelesaikan isu berbangkit dengan segera.