KUCHING: Satu jawatankuasa melibatkan kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan diwujud bagi memutuskan keperluan pentadbiran Pelabuhan Bintulu diserah kepada kerajaan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kerajaan pusat telah menerima surat daripada Sarawak berhubung permintaan negeri itu untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu yang terletak kira-kira 626 kilometer ke utara dari sini.

Susulan itu, Fadillah memaklumkan mesyuarat membabitkan agensi berkaitan akan diadakan bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai status pelabuhan berkenaan.

"Perundingan akan dimulakan sebab surat baru diterima. Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melihat perincian dan pandangan pihak (kerajaan) Persekutuan sama ada mereka setuju untuk serahkan pentadbiran Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak mengikut apa yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat tarawih di Masjid Darul Ibadah di sini malam tadi.

Pada Januari, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu sebagai sebuah pelabuhan persekutuan.

Abang Johari berkata langkah itu akan membolehkan pelabuhan tersebut diurus dan dimajukan lagi sebagai pelabuhan negeri sekali gus mengubahnya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.

Fadillah juga berkata Sabah dan Sarawak meminta agar tanah milik kerajaan Persekutuan yang tidak dimajukan dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata setakat ini, tiga bidang tanah di Sarawak dan dua di Sabah telah dikenal pasti tidak dimajukan.

"Apabila di Mesyuarat Majlis nanti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ia akan dapat dimuktamadkan (sama ada dikembalikan) tetapi saya sedang memanggil mesyuarat teknikal yang melibatkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan untuk memperincikan hal ini," katanya.

-- BERNAMA