KOTA SAMARAHAN: Satu jawatankuasa khas antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditubuhkan bagi memperhalusi isu sektor pendidikan dan kesihatan di negeri itu tanpa birokrasi, kata Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui pada Taklimat Pembangunan Sarawak yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

"Di peringkat kita iaitu pegawai negeri akan bekerjasama dengan pegawai Persekutuan bagi membincangkan perkara yang perlu diambil tindakan segera agar kurang birokrasi dan pastikan projek (berkaitan dua sektor) ini dilaksanakan dengan segera.

"Jawatankuasa ini berbeza dengan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri kerana ia menjurus kepada semua projek Persekutuan yang fokus kepada pendidikan dan kesihatan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas taklimat berkenaan yang berlangsung lebih sejam di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Cawangan Kota Samarahan.

Mohamad Abu Bakar yang membentangkan isu berkaitan pembangunan negeri dalam taklimat itu memaklumkan Sarawak memerlukan perhatian serius serta peruntukan daripada Persekutuan bagi projek seperti klinik dan sekolah daif.

Taklimat berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta timbalan-timbalan premier dan barisan menteri Sarawak.

-- BERNAMA