IPOH: Kerajaan negeri Perak menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu rumah ibadat yang dibina di dalam kawasan gua.

Ia ekoran pengeluaran notis terhadap 14 pengusaha rumah ibadat dalam kawasan gua di atas tanah kerajaan sekitar Mukim Sungai Raya dan Mukim Hulu Kinta.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, notis mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 itu antara lain disebabkan kerja-kerja pembinaan struktur yang semakin aktif tanpa kelulusan di kawasan berkenaan boleh mengundang risiko keselamatan.

"Jika ada kedapatan gua-gua di seluruh negeri Perak ini, maka tindakan sama akan kita ambil, sebab, itu penting.

"Saya sekali lagi sebut, ia bukan soal diskriminasi, bukan soal agama, ia soal keselamatan. Kita bertanggungjawab ke atas itu.

"Jadi, minta tolonglah, jangan ada siapa-siapa pula mengambil kesempatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, selain menentukan status 14 rumah ibadat berkenaan, jawatankuasa khas itu juga akan memperincikan penetapan syarat-syarat yang perlu dipatuhi di samping mekanisme kawalan terhadap sebarang struktur dan binaan.

Katanya, pencerobohan dan kegiatan pembinaan struktur yang tidak terkawal boleh mengundang ancaman keselamatan termasuk risiko runtuhan memandangkan gua batur kapur sensitif kepada perubahan cuaca.

Ancaman bukan sahaja kepada pengusaha, tetapi juga kepada pengunjung memandangkan kawasan terbabit juga menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Pada Ahad, media melaporkan pihak pengurusan Kuil Nam Thean Tong di Gunung Rapat menerima notis Pejabat Tanah Daerah Kinta pada Jumaat lepas supaya mengosongkan gua berkenaan dalam tempoh 30 hari.

Kuil yang terletak di dalam gua berkenaan dikatakan berusia 155 tahun dan merupakan satu daripada lokasi yang kerap dikunjungi serta terletak bersebelahan Kuil Sam Poh Tong yang merupakan destinasi pelancongan popular.

Pada masa sama, Saarani menjelaskan, kebanyakan rumah ibadat yang terdapat di dalam kawasan gua di sekitar Ipoh tidak lagi diuruskan badan keagamaan.

Sebaliknya, katanya, ia diuruskan entiti perniagaan, sepertimana yang dinyatakan melalui rumusan sebuah buku yang ditulis dua profesor dari Universiti Tunku Abdul Rahman.

Katanya, perkara itu sangat bahaya kerana sebagai entiti perniagaan, sudah tentu mereka akan memikirkan soal keuntungan.

"Dan juga yang paling menakutkan ialah, kita mendapat laporan daripada bomba, pengusaha-pengusaha ini telah mengubah suai dalam gua tersebut.

"Dan pengubahsuaian itu tiada siapa yang kawal dan ia terdedah kepada kemungkinan berlaku runtuhan kerana telah diusik struktur dalamannya.

"Jadi, sebab itu kita kena lakukannya secara sah. Maknanya, mereka kena mohon seperti biasa dan pejabat tanah akan proses, jabatan-jabatan teknikal kena beri laporan kepada kita.

"Kemudian, sebarang usaha pembangunan kena memperolehi Kebenaran Merancang, pengubahsuaian juga kena melalui pelan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Menurutnya, pengusaha berkenaan pada Isnin mengadakan pertemuan dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pegawai Daerah Kinta.

Hasilnya, mereka bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama yang akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri mencari jalan mengelakkan kejadian tidak diingini, lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan ramai.

Sebelum ini, pernah berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan rumah ibadat di sekitar Ipoh, termasuk runtuhan Gunung Cheroh pada Okt 1973 dan di Tokong Perak Tong pada Jan 2009, yang mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ramai lagi.