KUALA LUMPUR: Siti Nuramira Abdullah yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam, akan dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, esok.

Wanita itu yang hadir di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi dengan ditemani peguamnya Ramesh Chandran bagi menandatangani Borang Jamin bagi kes yang dihadapinya, ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Siti Nuramira, 26, akan dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Tertuduh akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah esok," kata peguam itu ketika ditemui media.

Semalam, Nuramira dan teman lelakinya V. Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 6 petang, 4 Jun lepas mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini, pada 10.30 pagi, 9 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

-- BERNAMA