KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencadangkan penubuhan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia bagi meningkatkan dan mempromosikan keselamatan kebakaran di bangunan super atau paling tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, majlis itu juga sebagai medium perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dalam hal berkaitan keselamatan kebakaran.

Beliau berkata, ia penting kerana keselamatan kebakaran bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi juga semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dan operasi bangunan.

"(Majlis ini) menyediakan program latihan, pendidikan, pencegahan dan kesedaran awam keselamatan kebakaran kepada semua pihak yang terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan. Ia juga memudahkan bagi pertukaran maklumat dan idea berkaitan perkara-perkara keselamatan kebakaran.

"Ia membolehkan kolaborasi dan berinteraksi dengan JBPM dalam aspek pelan bangunan, sijil perakuan bomba (FC), pelesenan dan kesedaran awam mengenai pengecaman frekuensi radio (RFID), kenderaan elektrik (EV) serta panel solar untuk membantu membentuk dasar dan perundangan JBPM," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran 2024 JBPM di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Selasa.

Ahmad Izram berkata, amat penting untuk memastikan bahawa bangunan seumpama itu mematuhi standard keselamatan yang tinggi dan berdaya tahan terhadap pelbagai jenis ancaman kebakaran.

Beliau berkata, perancangan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia dicetuskan pada Pemukiman dan Penjajaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah diadakan awal bulan ini.

Menurut Ahmad Izram, antara fokus utama pada pemukiman adalah membentangkan tujuh teras dan 125 pelan tindakan bagi pelan strategi KPKT 2021-2025 dan melalui teras keenam iaitu Merakyatkan Perkhidmatan Kebombaan yang Responsif dan Efektif, ia sinonim dengan peranan JBPM.

"Satu daripada pelan bagi merealisasikan teras keenam itu ialah menubuhkan Pusat Kecemerlangan dalam bidang kebombaan melalui penubuhan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia.

"Bangunan super tinggi ialah bangunan yang diduduki dengan ketinggian melebihi 300 meter, terdapat enam bangunan seumpama itu di Malaysia iaitu KL Tower, Kuala Lumpur City Centre, TRX Exchange, Menara Merdeka 118, Four Seasons dan Menara TM. Penubuhan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia sangat signifikan," katanya.

Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran 2024 diadakan bagi memberi pendedahan dan maklumat terkini antaranya pindaan terbaharu undang-undang berkaitan keselamatan kebakaran, Peraturan-peraturan Perkhidmatan Bomba, Perintah Tetap Ketua Pengarah, pelaksanaan Perakuan Bomba dan Keselamatan Kebakaran.

Seminar sehari itu disertai 20 pempamer keselamatan kebakaran dan lebih 930 peserta daripada pelbagai organisasi antaranya wakil premis ditetapkan seperti hotel, bangunan pejabat dan stadium selain pegawai kanan bomba. - BERNAMA