KUALA LUMPUR: Kumpulan Johor Corporation (JCorp) mencatat keuntungan selepas cukai melebihi 100 peratus kepada RM379 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021, berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM237 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2020.

Pencapaian itu adalah bersandarkan pada jumlah pendapatan sebanyak RM5.13 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding RM4.3 bilion sebelumnya.

"Prestasi kewangan tahunan kumpulan yang cemerlang itu disumbang oleh segmen perniagaan tani yang mencatat pendapatan yang lebih tinggi berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah dan isirung sawit," kata JCorp dalam satu kenyataan hari ini.

Segmen kesejahteraan dan kesihatan kumpulan turut merekodkan peningkatan pendapatan yang lebih kukuh daripada aktiviti hospital, terutamanya dengan pertambahan jumlah pesakit dan pesakit luar serta pelaksanaan langkah-langkah pengoptimuman kos di segenap segmen perniagaannya.

Segmen perniagaan tani merekodkan hasil berjumlah RM1.65 bilion, peningkatan ketara sebanyak 49 peratus berbanding tahun kewangan 2020, manakala segmen kesejahteraan dan kesihatan memperolehi pertumbuhan pendapatan sebanyak 10 peratus.

"Seiring dengan pembudayaan 'norma baharu', pelan penciptaan semula JCorp 3.0 telah memacu usaha menetapkan semula dan mengimaginasi semula untuk memperkukuhkan JCorp sebagai sebuah institusi yang bersiap siaga yang berdaya tahan, tangkas dan mampan di masa depan," kata Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

JCorp merupakan organisasi didorong oleh nilai dengan jumlah aset melebihi RM23 bilion pada akhir tahun kewangan 2021. - BERNAMA