KUALA LUMPUR:Inisiatif Bidang Kuasa Pensijilan Kelapa Sawit Lestari (JCSPO) akan menjadikan Sabah sebagai negeri pemacu kepada pemuliharaan dan kelestarian sektor komoditi sawit di negara ini.

Ia juga akan menangani isu penebangan hutan melibatkan rantaian bekalan minyak sawit dengan menerapkan strategi, dasar dan langkah-langkah melindungi alam sekitar.

Pengarah Konservasi WWF-Malaysia, Dr Henry Chan berkata inisiatif itu menjadi asas kepada langkah penting dalam menempatkan Sabah sebagai pemimpin global dalam minyak sawit lestari.

JCSPO akan lonjak Sabah sebagai peneraju komoditi sawit lestari dunia - Foto WWF-Malaysia/Mazidi Abd Ghani

Ikuti ulasan Dr Henry ketika ditemu bual Astro AWANI:

1.     Boleh kongsikan berkenaan inisiatif yang dilakukan ini seiring usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju global dalam pengeluar minyak sawit lestari?

Inisiatif menjadikan Sabah sebagai peneraju global minyak sawit lestari terbahagi kepada tiga elemen utama:

a) Pertama ialah penggunaan kaedah untuk mengelakkan kehilangan kawasan biodiversiti bernilai tinggi. Ia digunakan oleh industri sawit lestari di seluruh dunia bagi membantu pengusaha ladang sawit mengenal dan menangani beberapa isu penting.

Umpamanya jika terdapat orang utan, gajah atau banteng di kawasan berkenaan, pengusaha ladang perlu menyerapkan aspek biodiversiti ini ke dalam operasi perladangan.

Juga, jika terdapat masyarakat setempat yang tinggal di kawasan berkenaan, pengusaha ladang perlu tahu siapakah mereka dan apakah budaya serta kehidupan sosio-ekonomi komuniti itu supaya operasi perladangan tidak menjejaskan kehidupan mereka.

b) Ekoran daripada keperluan melibatkan masyarakat setempat, elemen kedua JCSPO ialah Prinsip Keputusan Bebas didahulukan. Dalam Bahasa Inggeris, prinsip ini dinamakan Free Prior and Informed Consent.

Secara asasnya, prinsip ini membantu peladang mengenal pasti komuniti yang berada dalam kawasan mereka, dan menentukan sama ada perlu mendapatkan kebenaran daripada mereka untuk operasi peladangan.

Yang penting, izin perlu diberikan tanpa sebarang unsur pengaruh paksa atau desakan. Ini bagi mengelak keadaan di mana komuniti kemudian berasa kesal kerana telah memberi izin akibat terpedaya.

c) Elemen ketiga ialah memperkasa pekebun kecil sawit dengan amalan yang lebih lestari, selain meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Perlindungan hidupan liar menjadi antara fokus dalam menjayakan inisiatif JCSPO. JCSPO akan lonjak Sabah sebagai peneraju komoditi sawit lestari dunia - Foto WWF-Malaysia/Edwin Matulin

Di Sabah terdapat kira-kira 53,000 pekebun kecil dengan keluasan tanah berjumlah lebih dari 210,000 hektar. Kawasan ini meliputi 14 peratus daripada kawasan yang ditanami sawit.

Memandangkan minyak sawit ialah komoditi dunia yang menarik perhatian ramai dari Afrika ke Asia Tenggara hinggalah ke Amerika Selatan, pembukaan ladang sawit baru secara besar-besaran boleh membawa kesan buruk kepada golongan pekebun kecil.

Pengeluaran minyak sawit secara berlebihan akan membawa kepada kejatuhan harga. Apabila harga sawit dunia kurang daripada kos pengeluaran secara berpanjangan, petani yang akan menjadi mangsa.

Kita tidak mahu melihat kembali kesan buruk akibat kejatuhan harga koko, getah dan lada hitam kepada masyarakat.

Justeru itu, kami amat berharap, dengan adanya JCSPO, pihak kerajaan dan industri sawit akan mengenal pasti masalah-masalah yang akan timbul dan mengambil tindakan awal bagi mengelakkan impak kepada komuniti pekebun kecil.

2. Sejauh mana ia mampu menangkis tanggapan negatif serta kritikan global terhadap komoditi ini?

Jawapan kepada pertanyaan ini perlu dilihat dari pandangan perubahan iklim, pembukaan hutan dan kehilangan habitat haiwan liar. Kesemua ini ada perkaitan dengan industri sawit.

Dunia memerlukan hutan untuk menyerap pencemaran karbon diosksida, dan menghasil oksigen serta hujan. Masalahnya ialah banyak hutan di dunia sudah dibuka untuk pertanian, sama ada untuk sawit, kacang soya atau ternakan lembu.

Semenjak 1980an, adalah sangat jelas pembukaan ladang sawit berkait dengan penebangan hutan.

Di Asia Tenggara, pembukaan ladang sawit dilihat sebagai penyebab kehilangan habitat orang utan, khasnya di Sumatra dan Borneo.

Pembakaran hutan dan gambar orang utan yang mengerikan dalam kempen-kempen melawan sawit menjadikan komoditi ini makin diboikot.

Di Eropah, sudah muncul kempen kalangan kanak-kanak sekolah dan belia bagi mendesak kerajaan melarang impot bahan yang mengandungi sawit ke rantau itu.

Mungkin kita boleh berkata, kita boleh langsung terus ekspot ke Negara Cina dan India sahaja.

3. Mengapa pentingnya JCSPO ini dalam memacu perdagangan minyak sawit global?

Namun kita perlu melihat gambaran yang lebih besar. Oleh sebab negara China banyak mengeluarkan barangan ekspot, dan jika bahan ekspot itu mengandungi sawit, barangan itu juga akan dilarang masuk ke Eropah dan kemudiannya Amerika Syarikat.

Kesannya akan menjadi global. Jadi, dengan JCSPO dan pengurusan kawasan bernilai biodiversiti tinggi, isu-isu yang mendorong kempen melawan sawit ini dapat diatasi.

Negeri-negeri seperti Sabah dan Kalimantan Tengah di Indonesia serta negara seperti Gabon dan Equador yang menuju kepada JCSPO akan menjadi yang terawal dalam menikmati impak positif daripada gerakan sawit lestari dunia ini.

Akhirnya, kita perlu memastikan bahawa industri sawit tidak dikaitkan dengan perubahan iklim dan kehilangan habitat haiwan liar.

4. Berapa lama proses ini akan berjalan dalam memastikan Sabah menjadi negeri 100 peratus sebagai pengeluar minyak sawit lestari?

JCSPO dilancarkan pada 2016 dengan matlamat semua sawit disijilkan pada tahun 2025. Cita cita ini memanglah tinggi. Jika kita mengambil langkah awal dan belajar daripada usaha awal ini, dan mendapat sokongan dari semua pihak berkepentingan, kejayaan akan cepat diperolehi.

Dalam usaha menyokong kerajaan Negeri Sabah dalam JCSPO, WWF-Malaysia telah memperkenalkan pendekatan Living Landscape yang bermaksud Kawasan Berkehidupan.

Pendekatan ini memberi gambaran bagaimana JCSPO boleh dilaksanakan di lapangan tempatan serta mengambil kira kebimbangan global. Pendekatan ini berlandaskan tiga tunjang iaitu Melindungi, Mengeluar dan Memulih.

Konsep Living Landscape antara inisiatif yang sedang direalisasikan. - Foto WWF-Malaysia/Mazidi Abd Ghani

Living Landscape ini meliputi kawasan ratusan ribu hektar yang mengandungi pelbagai pengguna sumber asli. Di bawah tunjang melindungi, kita melindungi hutan dan habitat hidupan liar seperti orang utan dan gajah.

Di luar daripada kawasan perlindungan ini, kita bekerjasama dengan pihak ladang sawit supaya mereka boleh menepati prinsip lestari dan konservasi biodiversiti. Di kawasan-kawasan hutan yang telah terpisah, tunjang Memulih diambil kira.

Laluan haiwan liar dipulihkan untuk menghubungkan semula kawasan hutan dan ini membolehkan hidupan liar bergerak dari satu tompok hutan ke kawasan hutan yang besar.

Akhir sekali, pendekatan Living Landscape berupaya mewujudkan naratif baharu yang memberi gambaran bahawa hasil sawit dari Sabah adalah selamat digunakan.

Selain itu, penghasilan sawit Sabah juga boleh membantu perjuangan menangani perubahan iklim dunia dan konservasi biodiversiti.

Kami yakin bahawa Pendekatan Living Landscape akan mempercepatkan pencapaian matlamat semua sawit Sabah mendapat sijil RSPO sebelum tahun 2025.