Ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim mahu rakan sepasukannya meneruskan momentum kemenangan ke atas Kelantan Rabu lepas, apabila menentang PKNS FC, di sini malam esok.

Menurutnya, kemenangan itu lebih penting kerana JDT bermain di halaman sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos yang seharusnya memberi kelebihan kepada mereka.

"Persiapan kita alhamdulillah baik, kita pun dapat keputusan yang baik ketika menewaskan Kelantan 3-2 dan ini memberikan satu motivasi untuk pasukan mencari kemenangan pada malam esok.

"Apa yang perlu dilakukan pada ketika ini adalah untuk mengekalkan momentum selain ikut arahan jurulatih serta menggunakan taktikal yang diatur dengan baik," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika perasmian Program 'Carlist MAA Drive Test and Buy 2017' anjuran bersama Carlist.my Malaysia dan 23 Motors Sdn Bhd di sini, hari ini.

JDT kini adalah pendahulu Liga Super selepas mengutip 20 mata manakala PKNS pula berada di kedudukan kelapan dengan sembilan mata.

Pada masa sama, Safiq mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak berasa selesa dan mengambil mudah pasukan lawan.

"Kita tidak boleh memandang rendah pasukan lawan kerana pemain PKNS terdiri daripada pemain yang lama dan berpengalaman, kita harus berwaspada.

"Mereka juga mempunyai pemain import yang baik dan harus diberi perhatian kerana mereka boleh menjadi pemusnah," katanya.

-- BERNAMA