Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia B. Satianathan memilih pasukan dari selatan tanah air Johor Darul Takzim (JDT) sebagai pilihan juara Liga Super musim ini.

Turut menyuarakan pendapat sama, bekas pengendali Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Menurut laporan akhbar Utusan, kedua jurulatih berpendapat JDT mempunyai kelebihan kerana hanya perlu kekal menang manakala Pahang pula harus mengharapkan JDT tergelincir.

Laluan Pahang: Perak (A), Felda Utd (H) dan Terengganu (A).

Laluan JDT: Kelantan (A), Perak (H) dan Felda Utd (A).

Walaupun laluan kedua pasukan sama namun Pahang berdepan tugas sukar kerana perlu berdepan Terengganu dan Perak di laman lawan.

Walaupun Perak sedang mengalami prestasi merudum namun sebaliknya buat Terengganu yang telah mempamerkan aksi baik.

Skuad Penyu telah mencatat 6 kemenangan berturut sebelum ini sekaligus bakal memberikan satu cabaran untuk Pahang.

Kedudukan Pahang dan JDT mula berubah selepas skuad Tok Gajah tewas 4-2 berdepan Lions XII di Singapura sekaligus memberi laluan kepada JDT untuk memintas selepas berjaya mengatasi ATM 1-0.

Sekiranya JDT kekal selaku pendahulu sehingga tamat musim, ini bermakna skuad The Southern Tigers itu berjaya memastikan kejuaraan Liga Super kekal di Larkin.