NATIONAL
Jejak Al-Haramain: Setiap jemaah haji ibarat ibu dan ayah – Petugas PPKL
MEKAH: Dari Madinah ke Mekah, jaraknya lebih 400 kilometer dan kira-kira tujuh jam perjalanan dengan menaiki bas.
Sepanjang perjalanan, bukan sahaja keletihan duduk di dalam bas, malah pelbagai kemungkinan boleh berlaku, termasuk masalah kesihatan dalam kalangan jemaah.
Menyedari risiko ini, Pusat Panggilan Keselamatan Lebuhraya (PPKL) ditugaskan memantau pergerakan dan mengatasi masalah, jika berlaku perkara tidak diingini.
PPKL dianggotai dua petugas dan tiga pembantu.Bagi memudahkan pergerakan, pasukan ini menjadikan lokasi rehat dan rawat (R&R), As Sahel, Wadi Starah, sebagai pusat operasi.
Lokasi strategik berhampiran padang pasir, terletak antara Madinah dan Mekah, dijadikan pusat memantau jemaah yang menggunakan lebuh raya.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, setiap hari anggota PPKL menerima jemaah haji dari Madinah, yang terlebih dahulu berniat ihram umrah dan haji di Bir Ali.
“Selepas kira-kira tiga jam perjalanan, jemaah haji berhenti rehat selama satu jam, makan, minum dan melakukan solat sebelum meneruskan perjalanan ke Mekah,” katanya.

Mohd Hisham Harun (kiri) dan Mohd Azir Shahril Ahmad
PPKL akan memastikan setiap bas yang bergerak dari Madinah akan tiba di As Sahel.
Ibarat wira tidak didendang, setiap anggota PPKL perlu ada daya tahan fizikal dan mental dalam melaksanakan tugas.
Pengurus PPKL, Mohd Azir Shahril Ahmad berkata, cabaran paling besar ialah mengetahui lokasi bas dan memastikan tindakan segera, sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Setakat ini, sehingga Kumpulan KT9, tiada kecemasan luar biasa, kami doakan mereka menjalani ibadah ini dengan tenang.
“Bagi saya, mereka ini seperti ibu dan ayah saya. Mereka juga tetamu Allah, kami cuba yang terbaik melayani mereka,” katanya.
Seorang jemaah haji, Siti Norazila Kamarudin berpuas hati dengan layanan dan maklumat yang diberikan.
“Sekiranya ada masalah pun, ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Siti Norazila Kamarudin
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami