Jejambat Wakaf Bharu - Pengkalan Kubor siap November

Faris Danial Razi
Ogos 12, 2022 07:43 MYT
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, (tengah) berkata projek itu kini mencapai kemajuan sehingga 89.38 peratus iaitu kira-kira tiga peratus lebih awal dari tarikh ditetapkan. - Gambar ihsan Kementerian Kerja Raya
KUALA KRAI: Projek pembinaan jejambat dari arah Kota Bharu merentasi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor bakal disiapkan sepenuhnya seawal penghujung bulan November tahun ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek itu kini mencapai kemajuan sehingga 89.38 peratus iaitu kira-kira tiga peratus lebih awal dari tarikh ditetapkan.
Apa yang lebih membanggakan, kata beliau, jejambat itu merupakan projek pertama di Malaysia yang menggunakan kaedah Highway Information Modelling (HIM) yang diadaptasi daripada sistem Building Information Modelling (BIM) yang sering digunakan bagi pembinaan jalan raya dan bangunan.
“Projek ini sepatutnya di bawah perjanjian ia disiapkan Disember tahun ini, namun berdasarkan taklimat tadi, kontraktor memberi jaminan dan komitmen untuk menyiapkan projek ini seawal penghujung November.
“Jadi, saya mendoakan dan mengharapkan ia siap seperti yang dirancangkan dan memanfaatkan terutama untuk penduduk di sini disebabkan kawasan ini merupakan kawasan menjadi kesesakan trafik yang agak tinggi,” jelas Fadillah ketika tinjauan pembangunan projek Jejambat Wakaf Bharu, di sini, pada Jumaat.
Menyentuh mengenai sistem yang digunakan dalam menjayakan projek itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, ia merupakan perintis yang menggunakan kaedah HIM.
Projek pembinaan itu juga, jelas beliau, menggunakan sistem 3D yang kebiasannya sesuai untuk bangunan di mana gambaran projek dari segi reka bentuk dan kemajuannya sehingga siap dapat dilihat oleh kontraktor.
Teknologi itu, katanya, dapat mengesan sesuatu kelemahan lebih awal serta mengurangkan masalah semasa pelaksanaan projek.
“Sebenarnya, ia pernah dilaksanakan di bawah projek Pan Borneo Sarawak namun cabarannya ialah ia perlu dilanggan menerusi sistem di peringkat antarabangsa yang lebih maju ke hadapan.
“Namun hari ini, projek Jejambat Wakaf Bharu ini ia merupakan kali pertama dibangunkan menggunakan kepakaran tempatan.
“Untuk itu, kita perlu cari kaedah untuk kita menambahbaik supaya ia dapat sama taraf dengan apa yang telah ada di pasaran antarabangsa sekali gus dapat diguna pakai untuk keseluruhan pembinaan lebuh raya di Malaysia,” tambahnya lagi.
Untuk makluman, projek berkenaan telah bermula pada Februari 2018 dan dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM105.5 juta.
Sebaik siap kelak dalam tempoh kira-kira tiga bulan ini, trafik dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor akan menjadi lebih lancar serta mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
#Fadillah Yusof #Jejambat Wakaf Bharu #Pengkalan Kubor #Kementerian Kerja Raya