KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan berbincang dengan kepimpinan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berhubung dakwaan bahawa beliau bersetuju menyertai siri jelajah yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Muar itu, yang juga bekas Presiden MUDA berkata, sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, perlu dibuat demi kepentingan rakyat dan bukan atas nama parti.

Justeru, beliau mencadangkan agar sebarang usaha melibatkan isu rakyat wajar menggunakan platfrom neutral bagi membolehkan penglibatan semua pihak tanpa menggira latar belakang politik.

“Saya nak rumuskan di sini, kerjasama itu perlu dipacu oleh parti saya. Bila saya kata pacu, bukannya MUDA ‘lead’ protes atau jelajah tetapi saya perlu bentangkan kepada parti untuk mendapat kebenaran kerana ‘I'm still a party man’. Saya merupakan ahli MUDA walaupun bukan Presiden MUDA.

“Berkenaan salah tafsir (penyertaan dalam jelajah PN) yang mungkin berlaku, perkara ini saya akan dibincangkan dengan pimpinan MUDA.

“Sebab pimpinan MUDA telah pun menghubungi untuk memberikan penjelasan lanjut berkenaan apa yang berlaku dan saya akur dan akan berjumpa untuk menjelaskannya,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Syed Saddiq Syed bersetuju untuk menyertai program jelajah PN.

Syed Saddiq juga berharap semua pihak dapat menggembeleng usaha untuk menyuarakan isu-isu yang membelenggu rakyat.

“Ini bukan jelajah PN, jelajah MUDA atau berkenaan jelajah kepartian semata-mata.

“Tetapi di dalam dan juga di luar Parlimen, isu-isu rakyat yang kita boleh bekerjasama, kita wajib kerjasama demi masa depan negara,” tambah beliau.

Syed Saddiq berkata, beliau boleh mencari persamaan dengan PN dalam beberapa perkara seperti isu ketidakadilan peruntukan terhadap pembangkang dan gesaan agar kerajaan melaksanakan reformasi.

“Yang ketiga adalah untuk membela rakyat daripada kerajaan ‘mahal dahni’.

“Ini saya ungkapkan di dalam Parlimen kerana tahun ini adalah tahun yang sangat getir. Ia bukan sahaja kerana pengenalan dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang saya sudah bahaskan tetapi ia akan disertakan sekali dengan penarikan subsidi berskala besar,” tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Pada 9 Mac lalu, Setiausaha Agung MUDA, Amir Hadi menerusi hantaran di aplikasi X menafikan partinya akan terbabit dalam jelajah anjuran PN.

Ujar beliau, perkara itu tak pernah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA.