DAP mahu pihak Imigresen menjelaskan kenapa ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua disekat ke luar negara.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh yang juga merupakan Pengerusi Biro Guaman DAP, berkata pihaknya memberi masa seminggu kepada ketua pengarah Imigresen untuk menjelaskan perkara itu.

“Kami akan memberi mereka tempoh masa seminggu untuk respon,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Menurut Gobind, DAP juga akan menghantar satu surat rasmi kepada kerajaan menuntut penjelasan berkenaan perkara itu.

Semalam, Tony Pua yang dihalang pihak Imigresen daripada meninggalkan negara di KLIA2, berkata tindakan itu sebagai salah guna kuasa.

Beliau yang pada awalnya merancang untuk ke Yogyakarta, Indonesia atas urusan kerja telah dihalang untuk menaiki pesawat yang dijadual berangkat pada kira-kira jam 3.15 petang.

Pua berkata halangan tersebut mungkin berpunca daripada kritikannya terhadap 1MDB, namun beliau menuntut jawapan mengenai alasan sebenar halangan itu dan pihak yang bertanggungjawab memberi arahan berkenaan.