KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membuat siasatan sewajarnya ke atas syarikat agensi pelancongan yang menyebabkan hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat MOTAC pada Jumaat.

"Berdasarkan semakan Kementerian, agensi pelancongan tersebut adalah berlesen dengan MOTAC.

"Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga telah memantau dan menemu bual wakil syarikat di KLIA semalam dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan," jelas kenyataan itu.

Tegas MOTAC, tindakan menggantung atau membatalkan lesen boleh dikenakan terhadap syarikat terbabit sekiranya didapati bersalah.

"Pihak MOTAC akan membuat siasatan sewajarnya ke atas syarikat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

"Kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara, dan sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh digantung atau dibatalkan lesen yang diberikan," jelas kenyataan itu lagi.

Di samping itu, MOTAC turut meminta para jemaah untuk membuat aduan rasmi menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi pemulangan wang.

Para jemaah perlu menyediakan dokumen seperti bukti tempahan pakej, pembayaran deposit, pembayaran penuh, salinan pasport dan visa.

Turut diperlukan, terma dan syarat seragam ke luar negara, laporan polis, salinan tiket penerbangan dan dokumen yang membantu siasatan.

"Di samping itu, sekiranya Rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kes tersebut tidak mendapatkan kembali wang seperti yang dijanjikan.

"Mereka adalah dinasihatkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis yang berdekatan," jelas kenyataan itu lagi.

MOTAC turut menegaskan, pemantauan akan terus dilakukan dan akan mengambil tindakan sewajarnya dibawah Akta 482.

Pada masa sama, orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada kementerian atau agensi berkenaan dan membuat pengesahan terlebih dahulu.

Ia bagi memastikan pakej ditawarkan oleh agensi pelancongan demi masmtikan hak pembeli terpelihara dan mengelakkan kes penipuan.