KUALA LUMPUR: Ahli Jemaah Menteri diarah mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keperluan kad laporan itu adalah bagi menilai pencapaian pretasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurut beliau kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut bagi setiap Ahli Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Prestasi setiap Ahli Jemaah Menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan, Penilaian Kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian/Jabatan di bawah tanggungjawab mereka," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ujarnya, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai
penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri pada 24 dan 29 September 2021 untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam Teras Utama iaitu:

1. Menstruktur Semula Ekonomi
2. Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara
3. Meningkatkan Kesejahteraan Sosial
4. Mempertingkatkan Infrastruktur Menyeluruh
5. Memperkukuh Penyatuan dalam Acuan Kel6uarga Malaysia
6. Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan

Katanya, Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari itu akan bermula pada 1 September 2021 iaitu hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.