Skip to main content

Malaysia

Jenayah komersial 'membarah', polis giat bongkar modus operandi sindiket

AWANI
Polis berjaya menumpaskan beberapa sindiket jenayah komersial menerusi siri serbuan di sekitar Kajang pada awal April. -Gambar Astro AWANI

SHAH ALAM: Kes jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian dilaporkan meningkat dengan sindiket menggunakan platform digital bagi memperdaya mangsa, termasuk dari luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, peningkatan itu membabitkan pelbagai modus operandi seperti judi dalam talian, penipuan cinta, pelaburan palsu dan tawaran kerja tidak wujud.

Advertisement

“Sejak kebelakangan ini, kes-kes jenayah komersial yang melibatkan penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan mendadak.

"Sindiket lazimnya beroperasi sebagai ‘call center’ dengan menjadikan aplikasi seperti WeChat, Telegram dan WhatsApp sebagai medium utama mendekati mangsa," katanya ketika Sidang Media Ketua Polis Selangor, di sini, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, polis berjaya menumpaskan beberapa sindiket menerusi siri serbuan di sekitar Kajang.

Dalam tangkapan pertama pada 7 April lalu, seramai 11 warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita diberkas kerana terlibat sindiket penipuan perjudian atas talian di sebuah rumah di Taman Anjung Residensi.

Polis turut merampas enam unit monitor, enam unit pemprosesan pusat (CPU), enam telefon bimbit dan dua modem dengan nilai keseluruhan RM30,000.

Siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak Februari 2026 dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa.

"Kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang berkomunikasi dengan mangsa sebelum mendorong mereka menyertai perjudian melalui platform tertentu, dengan bayaran dibuat menggunakan akaun dikawal sindiket," katanya.

Dalam serbuan kedua pada hari sama, tiga lagi warga asing ditahan atas kesalahan sama dengan rampasan melibatkan telefon bimbit dan modem bernilai RM8,000.

"Modus operandi mereka juga serupa, iaitu menggunakan aplikasi komunikasi untuk mempengaruhi mangsa menyertai aktiviti judi dalam talian," jelasnya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada 8 April, tiga lelaki warga asing ditahan kerana menjalankan kegiatan menjual akaun WeChat dan iCloud menggunakan identiti palsu kepada sindiket penipuan.

Polis merampas komputer riba, telefon bimbit serta peralatan lain dengan nilai sekitar RM10,000.

Dalam operasi lain, empat lelaki warga asing turut diberkas kerana terlibat penipuan love scam yang menyasarkan mangsa dari Indonesia dan Singapura.

"Sindiket berkenaan menggunakan pendekatan menjalin hubungan secara dalam talian sebelum memperdaya mangsa melalui tawaran hadiah yang tidak wujud.

"Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan," jelasnya.

Polis pada masa sama menyeru orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran dalam talian yang menjanjikan keuntungan atau ganjaran luar biasa.

Must Watch Video