KUALA LUMPUR: Jenayah penipuan pekerjaan akan menjadi salah satu daripada 10 agenda utama yang akan diberi penekanan ketika Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata Malaysia selaku pengerusi sidang kemuncak itu memutuskan untuk membawa isu jenayah penipuan pekerjaan dalam agenda utama memandangkan jenayah itu kini menjadi krisis global.

"Kita negara ASEAN yang paling ke hadapan memasukkan tajuk ini dalam sidang kemuncak ASEAN yang akan kita pengerusikan tahun hadapan... kitalah yang mencadangkan tajuk jenayah penipuan pekerjaan ini dimasukkan dalam satu daripada 10 agenda keutamaan yang akan kita bawa.

"Jenayah jenis tersebut sebelum ini hanya diklasifikasikan sebagai mangsa tipu oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), namun kini badan itu telah mengiktiraf jenayah ini sebagai jenayah pemerdaganagn orang... jadi bukan sahaja kita yang melihat krisis ini, tetapi negara serantau dan global turut sama," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang ingin mengetahui statistik terkini bilangan mangsa penipuan sindiket kerja dan pelan tindakan kerajaan untuk menangani masalah penipuan kerja dengan lebih cekap serta berkesan.

Saifuddin berkata berdasarkan laporan polis sejak Sept 2021 hingga kini, 362 laporan polis diterima berkaitan penipuan pekerjaan melibatkan 470 mangsa.

"Daripada 470 mangsa ini, 331 orang telah diselamatkan dan bakinya 139 kita kategorikan masih terkandas di negara yang terlibat," katanya.

Sebagai usaha berterusan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai jenayah ini, Saifudin berkata usaha sama akan dijalankan bersama pihak Malaysia Airport Berhad.

"Sebelum mana-mana individu keluar negara dan terjebak dengan jenayah ini, kita akan adakan kaunter mengenai jenayah penipuan pekerjaan dan pemerdagangan di pintu keluar negara untuk beri kesedaran kepada orang ramai.

"Di kaunter itu mungkin mereka boleh semak terlebih dahulu sebelum mereka meneruskan langkah, kemudian kita akan buat paparan elektronik atau digital di pintu keluar negara sebagai ikhtiar akhir bagi terus mengingatkan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA