PASIR MAS: Aktiviti jenayah rentas sempadan di Kelantan, Terengganu dan Pahang meningkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama, tahun lepas, kata Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Hasan Basri Ahmad Safar.

Beliau berkata sejak Januari hingga Jun tahun lepas, pihaknya berjaya menggagalkan 296 kes jenayah rentas sempadan dengan 252 tangkapan, melibatkan rampasan pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM10.2 juta.

"Namun, sejak Januari hingga 30 Jun tahun ini pula, PGA menggagalkan 464 kes jenayah rentas sempadan dengan menahan 458 individu serta merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM33.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 224 peratus berbanding tahun lepas," katanya dalam sidang media Op Benteng di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di sini hari ini.

Hasan Basri berkata dalam tempoh setahun ini, kes mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 merupakan kes tertinggi direkodkan dengan kedua-duanya sebanyak 79 kes melibatkan nilai rampasan masing-masing melebihi RM3.5 juta dan RM1.9 juta.

Beliau berkata rampasan barangan tertinggi pula melibatkan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mencatatkan 64 kes dengan nilai rampasan melebihi RM13.7 juta.

Hasan Basri berkata antara aktiviti jenayah rentas sempadan yang turut digagalkan PGA dalam tempoh itu adalah 42 kes mengikut Akta Racun 1952 dengan rampasan bernilai kira-kira RM3.4 juta dan 18 kes mengikut Akta Binatang 1953 dengan nilai rampasan sebanyak RM2.15 juta.

Ditanya mengenai faktor berlakunya peningkatan aktiviti jenayah rentas sempadan, beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan desakan hidup susulan pandemik COVID-19 ketika ini.

"Bagaimanapun, kami (PGA) akan sentiasa memantau dan memperketat kawalan keselamatan di pintu sempadan negara bagi memastikan kes-kes penyeludupan dapat dibanteras," katanya.

Menurut Hasan Basri, pihaknya juga menahan seramai 135 pendatang asing tanpa izin dari pelbagai negara dan 19 tekong serta merampas 15 kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin, menerusi Op Benteng sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Mengenai projek rintis Op Bersepadu antara PGA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilancarkan 16 Jun lepas, beliau berkata kerjasama antara kedua-dua pasukan keselamatan itu berjaya menggagalkan 13 kes penyeludupan barangan dengan rampasan bernilai RM318,459.96, setakat ini.

"Menerusi projek rintis itu yang dilaksanakan hingga 16 Julai ini, seramai enam lelaki telah ditahan dan tujuh kenderaan dirampas," katanya sambil menambah kajian semula terhadap Op Bersepadu berkenaan akan dijalankan sebelum ia dilaksanakan secara tetap.

-- BERNAMA