KUALA LUMPUR: Malaysia berpendirian bahawa 49 negara yang menganggotai Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik perlu ada satu set undang-undang yang seragam untuk menghapuskan aktiviti haram termasuk jenayah kolar putih.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan hari ini tidak memberi sebarang ruang untuk negara anggota berpuas hati, tanpa kerjasama yang sewajarnya dalam memerangi unsur-unsur negatif di sempadan negara.

Jelas beliau lagi, kerjasama antara negara anggota mampu mengekang daripada membuka pintu untuk menyebarkan aktiviti haram terutamanya jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

"Malaysia pernah dan sedang mengalami semua ini. Berada di kawasan enklaf Asia Tenggara, kami terdedah kepada aktiviti haram ini selama bertahun-tahun.

"Di Malaysia, masalah pemerdagangan manusia rentas sempadan laut yang semakin meningkat telah membawa perhatian yang ketara kepada masalah tadbir urus maritim dan kawalan sempadan yang berkesan, memberikan cabaran yang serius serta tekanan yang meningkat ke atas agensi yang ditugaskan untuk mengawal laut Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar FBINAA Asia Pasifik 2023, di sini, pada Isnin.

Berucap lanjut, Ahmad Zahid berkata, kelemahan perdagangan maritim dan globalisasi ekonomi yang semakin meningkat memudahkan pengembangan dan intensiti jenayah transnasional melibatkan pendatang, kerana kemudahan maritim yang disifatkan murah, sekali gus sukar untuk mengesan pergerakan manusia.

Sehubungan itu, beliau menambah, pengukuhan keselamatan sempadan melalui pengawasan maritim yang lebih besar, operasi keselamatan dan penambahbaikan teknologi adalah penting dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional.

"Tetapi malangnya adalah tidak mencukupi untuk menamatkan jenayah yang menunjukkan trend peningkatan terutamanya ekoran krisis ekonomi global.

"Memandangkan pemerdagangan manusia merupakan isu pelbagai dimensi dan berkait rapat dengan migrasi dan hak asasi manusia, menangani faktor struktur iaitu faktor penolak dan penarik adalah penting," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kunci untuk mengukuhkan keselamatan Malaysia juga terletak pada dasar ekonomi dan pelaburan yang kukuh.

Ini antaranya, ujar beliau, dengan memperkenalkan rangka kerja migrasi yang berkesan, selain menangani permintaan buruh murah, eksploitasi migran serta rasuah awam yang menyemarakkan aktiviti pemerdagangan.

"Saya ingin melihat lebih banyak kerjasama dalam kalangan pasukan penguatkuasa kita terutamanya polis, maritim dan risikan. Ini penting untuk mengukuhkan mekanisme keselamatan di sempadan bersama," katanya.