Tiba masanya kerajaan persekutuan perlu lebih serius menggubal undang-undang berasaskan hukum jenayah Islam sebagai alternatif kepada undang-undang sivil sedia ada yang terbukti gagal menyekat jenayah rogol.

Itu desakan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa jenayah rogol boleh ditangani dengan Hudud dan Takzir.

Kenyataan dikeluarkan susulan kes rogol beramai-ramai pada 20 Mei lalu yang melibatkan dua pelajar perempuan berusia 15 dan 17 tahun yang dirogol oleh 38 lelaki di Ketereh, Kelantan dan kes-kes seumpamanya.

Dr Mohd Khairuddin berkata, statistik polis menunjukkan antara kes jenayah yang paling tinggi di Malaysia adalah jenayah harta melibatkan kecurian dan jenayah kekerasan melibatkan rompak dan rogol.

Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pesalah rogol ialah penjara minima lima tahun dan maksima 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

“Islam mengkategorikan rogol atau disebut zina paksa sebagai satu kesalahan jenayah hudud. Hukuman boleh dikenakan ke atas perogol sekiranya kesalahan itu disabitkan menerusi kesaksian empat orang atau pengakuan tertuduh” jelas Dr Mohd Khairuddin.

Dr Mohd Khairuddin menerangkan bahawa terdapat dua bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas perogol yang disabitkan kesalahan:

1) Rejam sehingga mati jika pesalah pernah melakukan persetubuhan melalui perkahwinan yang sah.

2) 100 sebatan ke atas pesalah yang belum pernah melakukan persetubuhan melalui perkahwinan yang sah dan penjara selama setahun.

Namun, sekiranya kesalahan tidak dapat dibuktikan melalui empat orang saksi atau pengakuan tertuduh ia boleh disabitkan berdasarkan keterangan lain seperti DNA, laporan perubatan dan lain-lain keterangan yang boleh dijadikan bahan bukti kes dan dikenakan hukuman yang dipanggil Takzir mengikut budi bicara mahkamah.

“Hukuman Takzir boleh berlaku lebih keras daripada Hudud sekiranya mahkamah berpandangan ada keperluan untuk itu. Hukuman Takzir boleh mencapai tahap hukuman mati. Apatah lagi dalam kes rogol berkumpulan yang mendatangkan trauma dan kecederaan besar kepada mangsa dari sudut fizikal dan mental” kata Dr Mohd Khairuddin.

Dr Mohd Khairuddin menjelaskan mengenai Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002.

“Enakmen Terengganu menyebut Seksyen 9 (2) iaitu aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu tanpa berupaya membawa saksi seperti yang disyaratkan tetapi ada qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah di bawah hukuman Hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukkan pesalah telah melakukan persetubuhan ke atasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman Takzir dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan Qazaf” jelas Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Dr Mohd Khairuddin dalam kenyataan tersebut turut menyebut mengenai hukum Takzir dalam Islam membolehkan pesalah rogol dikenakan bayaran pampasan sebagai gantirugi kepada maruah mangsa.

“Peruntukan seumpama ini tidak terdapat dalam undang-undang sivil hari ini. Mangsa rogol hanya sekadar mendapat malu” katanya lagi.

Dr Mohd Khairuddin juga mahu agar kerajaan persekutuan membentangkan rang undang-undang yang membolehkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002 dilaksanakan di peringkat negeri sebagai model awal di Malaysia.