KUALA LUMPUR: Undang-undang Malaysia yang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ini kerana kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Beliau berkata pakar dan saintis AI kini sangat bimbang tentang kapasiti AI yang boleh mengawal sendiri arahan-arahan komputer untuk mengubah sesuatu.

"Walaupun hampir keseluruhan tujuannya adalah baik namun ia boleh digunakan untuk kegunaan jenayah seperti pemalsuan wajah (deepfakes), maklumat salah (misinformation) dan maklumat palsu (disinformation), malah ia mampu mengubah fabrik sosial.

"Sebagai langkah awal, PDRM akan menggiatkan program-program kesedaran masyarakat mengenai peningkatan trend jenayah ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengalu-alukan semua pemain industri untuk melihat pendekatan yang digunakan negara-negara maju dalam menangani jenayah siber dan peruntukan undang-undang mereka agar masyarakat Malaysia dapat dilindungi daripada menjadi mangsa.

Senada dengan Razarudin, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji semula dan selaras dengan negara lain bagi menangani ancaman jenayah siber.

Beliau berkata kajian terperinci undang-undang perlu dibuat penggubal undang-undang kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanyalah pelaksana penguatkuasaan undang-undang.

Selain itu, PDRM juga akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang dijangka sentiasa meningkat pada masa akan datang sejajar dengan kepesatan teknologi terutama dengan perkembangan penggunaan teknologi AI.

Oleh itu, warga PDRM perlu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan untuk menangani serta menyiasat kes berkaitan jenayah siber.

Menurutnya, kes jenayah siber sentiasa berubah mengikut peredaran zaman maka warga PDRM perlu dilengkapi dengan kemudahan mencegah dan menyiasat jenayah siber.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen berkata hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan bagi tempoh 2021 hingga Julai tahun ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber, katanya.

-- BERNAMA