MALAYSIA
Jenazah Allahyarham Ross Ariffin selamat dikebumikan

Jenazah komposer Allahyarham Ross Ariffin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baharu Sungai Kantan pada jam 3.50 petang tadi. - Gambar Luqman Aziz/ Astro AWANI.
KAJANG: Jenazah komposer Allahyarham Ross Ariffin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baharu Sungai Kantan petang ini.
Ringkasan AI
- Jenazah Allahyarham Ross Ariffin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baharu Sungai Kantan, disaksikan ahli keluarga, rakan media dan penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras.
- Allahyarham dikenang sebagai komposer rendah diri yang menghasilkan lagu-lagu popular seperti *Kau dan Aku*, *Kurniaan Dalam Kesamaran* dan *Dia*, serta mahir bermain piano dan biola.
- Pernah hidup sebagai gelandangan, kisah hidup Allahyarham mendapat perhatian Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang membantu menyediakan tempat tinggal dan kemudahan untuk beliau berkarya semula.
Allahyarham Ross atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN), Kajang, semalam dikenali sebagai seorang komposer yang merendah diri.
Hal ini diakui oleh Penguasa Rumah Seri Kenangan Cheras, Zamzuri Mohamed yang mengenali dan menjaga Allahyarham sejak enam bulan lalu.
“Allahyarham Uncle Ross seorang sangat ceria orangnya. Tidak banyak kerenah dan sentiasa cakap ‘everthing is okay’.
“Meskipun nama Allahyarham besar di era 90-an, arwah tidak pernah anggap dirinya seniman yang terkenal. Memang low profile karakternya,” katanya dalam nada sebak.
Allahyarham memulakan karier sebagai komposer sejak tahun 1993 dan pernah menghasilkan karya hebat antaranya Kau dan Aku yang memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) kategori Pop Rock pada 1995.
Allahyarham Ross juga menghasilkan melodi lagu Kurniaan Dalam Kesamaran nyanyian Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mana liriknya dihasilkan S Amin Shahab.
Antara lagu popular lain gubahan Allahyarham adalah lagu Dia nyanyian Fauziah Latiff.
Dalam pada itu, Allahyarham Ross juga memiliki kemahiran bermain piano dan biola.
Pada 18 Oktober 2023, Allahyarham Ross dilaporkan hidup sebagai gelandangan dan berpindah-randah selama kira-kira tiga tahun di sekitar Pasar Seni, di ibu negara dan Melaka.
Kisah hidup Allahyarham Ross mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Pada 8 Jun tahun lalu, Fahmi dan Allahyarham mengadakan pertemuan ketika mendiami sebuah apartment di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur atas bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selepas kisahnya hidupnya tular.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami