Jenazah anggota polis maut kejar samseng jalanan selamat dikebumikan

Nur Fazlizai Ali
Ogos 10, 2021 02:45 MYT
Jenazah Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, selamat disemadikan di Tapak Perkuburan (Fasa II) Bandar Ceneh Baharu kira-kira jam 8.40 malam, pada Isnin. - Astro AWANI
KEMAMAN: Jenazah anggota polis yang maut selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam operasi samseng jalanan di kilometer 24.4 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) selamat dikebumikan.
Jenazah Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, selamat disemadikan di Tapak Perkuburan (Fasa II) Bandar Ceneh Baharu kira-kira jam 8.40 malam, pada Isnin.
Terdahulu mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan disembahyangkan di Surau al-Amin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Jenazah anggota yang bertugas di cawangan Jenayah (D4) IPD Kajang itu kemudian dibawa pulang ke kampung halamannya di sini untuk disemadikan.
BACA: Dua anggota polis maut kemalangan semasa kejar pelumba haram
BACA: PDRM ucap takziah kepada keluarga dua anggota polis yang maut dalam kemalangan
Kemalangan | Jenazah Mohd Muradzi selamat dikebumikan
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa merakamkan ucapan takziah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mohd Muradzi.
"Sebenar tadi kita telah selesai kebumikan jenazah arwah di mana saya sebagai Ketua Polis Terengganu mewakili warga PDRM Terengganu ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah di mana arwah telah pergi meninggalkan kita dalam bertugas," kata Rohaimi.
Sementara itu, ibu mangsa Zawiyah Yahya ketika dihubungi berkata malam sebelum kejadian anaknya sempat menelefonnya untuk bertanya khabar dan memaklumkan untuk mengikuti operasi.
Jelasnya, kira-kira jam 2 pagi, dia terkejut selepas rakan anaknya memaklumkan insiden yang menimpa anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Pada Ahad, dua anggota polis maut selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam operasi samseng jalanan.
Kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi itu turut meragut nyawa Sarjan Mohd Arifah Md Yassin, 36.
#kemalangan #Mohd Muradzi Mohd Nawi #kejar suspek lumba haram #Operasi Samseng Jalanan #Lebuh Raya Silk #Hospital Serdang #bedah siasat #Mohd Arifah Md Yassin #PDRM