Jenazah bekas KM Melaka selamat dikebumikan di Makam Pahlawan

Bernama
September 21, 2022 14:45 MYT
Jenazah Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam selamat disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim Bukit Palah hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Jenazah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Bukit Palah, di sini, pada jam 9.20 malam ini.
Jenazah Allahyarham yang tiba kira-kira jam 7.45 malam dari Kuala Lumpur, kemudiannya disolatkan di Masjid Al-Azim, sejurus selesai solat Isyak.
Solat jenazah diimamkan Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohammad Hashim Al-Hafiz itu turut disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi, Datuk Rais Yasin.
Turut serta Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dan Mufti Negeri Melaka, Datuk Abd Halim Tawil dan orang ramai.
Terdahulu, Mohd Adib, 81, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 8.20 pagi tadi kerana sakit tua.
BACA: Bekas Ketua Menteri Melaka meninggal dunia
Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1941, menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka kelima dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982, selain pernah memegang jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.
-- BERNAMA
#bekas Ketua Menteri Melaka #jenazah bekas KM Melaka #Mohd Adib Mohamad Adam #kebumi #makam pahlawan #bukit palah