AYER KEROH: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Perkara itu dikongsi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menerusi catatan di laman Facebook rasminya.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam, mantan Ketua Menteri Melaka dan Menteri Persekutuan, hari ini.

“Allahyarham merupakan mantan Ketua Menteri Melaka kelima bagi tempoh 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982,” katanya.

Selain menjadi Ketua Menteri, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan. 

Sementara itu, Bernama melaporkan, Mohd Adib yang berusia 81 tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut isterinya Datin Seri Zainiah Hussein, 77 tahun, suaminya dibawa dan dimasukkan ke HKL malam tadi selepas mengadu sesak nafas.

"Pada pukul 8.20 pagi tadi, doktor hubungi, maklumkan suami saya telah meninggal dunia. Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua.

"Allahyarham tidak pernah mengadu sakit sebelum ini. Cuma dalam sebulan lepas, beliau mengalami strok, keadaannya juga agak lemah dan ingatannya adakala ingat adakala tidak,” katanya ketika ditemui di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Jenazah dimandi dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum disembahyangkan pada 4.25 petang oleh lebih 100 jemaah yang diimamkan Imam 1 Masjid Darul Ehsan Mohamad Khairi Hussein.

Jenazah akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di Makam Pahlawan Melaka selepas Maghrib. 

Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1941, meninggalkan isteri serta dua anak lelaki dan dua anak perempuan.