Jenazah Ramli Abd Majid, pendaki warga Malaysia yang maut di Gunung Damavand, Iran pada November tahun lepas, diijangka tiba di tanah air pada Isnin.

Menurut jurucakap Kelab Jelajah Alpine (KJA) Mohd Khafiz Bachok, pihaknya dimaklumkan bahawa jenazah akan diterbangkan dari Tehran selepas segala urusan berkaitan diselesaikan.

"Urusan (membawa pulang jenazah) lewat sedikit memandangkan Jumaat merupakan cuti hujung minggu di Tehran dan dokumen perjalanan untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia belum selesai memandangkan ia melibatkan banyak agensi," katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Jasad pendaki Malaysia ditemui selepas setahun hilang di Gunung Damavand

Mohd Khafiz berkata anggota keluarga Allahyarham dibenarkan untuk sekali lagi memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dimandi dan dikafankan.

Kementerian Luar pada Ahad mengesahkan mayat yang ditemui pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand pada Jumaat lepas adalah Ramli yang berusia 44 tahun ketika dilaporkan hilang pada 20 Nov 2016.

BACA: Jasad dipercayai pendaki warga Malaysia yang hilang di Gunung Damavand Iran ditemui

Ramli, ketua jurutera sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings Bhd, Shah Alam, Selangor bersama seorang lagi pendaki KJA Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.

Pada 28 Nov 2016, jasad Syed Redzuan ditemukan di kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.

-- BERNAMA