NATIONAL
Jenazah suami isteri maut kemalangan selamat dikebumikan

Pasangan suami isteri itu maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori. - Foto Bernama
SIK: Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Teloi Timur-Kampung Merbau Kudung dekat sini petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Terdahulu, jenazah Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan isterinya Intan Suraya Zaidi, 24, dituntut ahli keluarga masing-masing dari Hospital Sik sebelum dibawa keluar menaiki van jenazah berasingan.
Jenazah kedua-duanya tiba di pekarangan surau Kampung Charuk Pelanduk kira-kira 11.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
Ayah Lokman, Mohd Shukri Saad, 56, berkata Allahyarham adalah anak kedua daripada empat beradik dan baru mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lepas."Ini sambutan Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri... Semua persiapan raya telah dibuat termasuklah membelikan baju raya untuk ibu bapa kedua-dua keluarga.
"Rumah saya dengan besan hanya seberang jalan... Isnin lepas dia ada pulang ke rumah saya, tapi kami tak sempat berbual," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sejak dua minggu lepas, apabila Lokman tidak bekerja syif pagi di sebuah kilang di Kulim, dia akan turut sama berjemaah solat subuh di masjid.
"Semalam (hari kejadian), mereka berdua keluar awal pagi untuk ke Kulim sebelum ke sebuah kedai gambar untuk mengambil gambar pra-raya.
"Sewaktu terima panggilan mengenai kemalangan, saya berada di Guar Chempedak, baru habis kerja... Saya dimaklumkan menantu saya meninggal dunia, rupanya Lokman turut sama... Saya reda," katanya.
Sementara itu, nenek Intan Suraya, Rokiah Shaari, 66, berkata semua kelengkapan untuk menyambut hari raya telah dibeli cucu sulungnya itu dua hari sebelum berlaku kemalangan.
"Intan anak sulung daripada tiga beradik... dia beli kuih raya untuk makcik dan adik-beradik dia termasuk persiapan raya untuk anak angkatnya Syazwani Abd Rahman (12 tahun)... Duit raya juga sudah siap dimasukkan dalam sampul. Dia kata nak perabis duit raya kali ini.
"Kedua-dua mereka baik... memang terasa kehilangan sebab Intan rapat sangat dengan saya, sejak umur 41 hari duduk dengan saya," katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu dilaporkan maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori, sekali gus menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami