Jenazah pasangan suami isteri Osman Mohamed Taip, 31, dan Rosniza Othman, 32, yang terlibat dalam nahas yang meragut lapan nyawa di KM25 Jalan Bahau-Keratong, telah dituntut anggota keluarga masing-masing hari ini.

Osman akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab Luar, Bangi, Selangor manakala isterinya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Endau Rompin.

Kedua-dua jenazah telah pun selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Jempol.

Bagaimana pun menurut Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor, anak tunggal kedua-dua pasangan Muhammad Alifthaqif Osman, 3, kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Pilah.

Dalam kejadian 2.20 petang semalam, lapan maut dengan enam daripadanya rentung manakala seorang cedera dalam kemalangan membabit dua kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah treler di sini.

Mereka yang maut ialah enam sekeluarga yang menaiki kenderaan Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52, dan isteri Masnoraida M Yussof, 44.

Turut terkorban empat anak mereka iaitu Wan Muhammad Muhaimmin, 21, Wan Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7. Kesemua pemandu dan penumpang Proton Exora rentung dalam kejadian itu.

-- BERNAMA