Jenazah tokoh sejarawan Kedah selamat disemadikan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2020 08:25 MYT
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada persatuan PSMCK tetapi seluruh rakyat negeri Kedah. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Jenazah tokoh sejarawan Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 88, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, di sini kira-kira jam 2.15 petang tadi.
Terdahulu jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Ghuffran dengan diimamkan Masood Mahmud.
Lebih seratus orang yang terdiri daripada ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah (PSMCK), ahli keluarga dan orang ramai hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Sebaik selesai talkin dibacakan anak ketiga Allahyarham Wan Iskandar Zulkarnain Wan Shamsuddin, 57, menyiram air mawar kemudiannya diikuti anggota keluarga lain dan ahli PSMCK.
Datuk Wan Shamsuddin menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC) pada jam 6.01 petang Sabtu.
Allahyarham meninggalkan balu Datin Latifah Hassan, 86.
BACA: Pemergian Wan Shamsuddin, hilangnya khazanah ensiklopedia sejarah Kedah
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada persatuan PSMCK tetapi seluruh rakyat negeri Kedah.
Allahyarham diibaratkan seperti khazanah ensiklopedia sejarah berikutan sifat Allahyarham yang sangat mencintai dunia sejarah.
Semasa hayatnya Allahyarham telah membuktikan kesungguhan dan minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji selidik serta penghasilan artikel, jurnal serta buku-buku berkaitan sejarah negeri Kedah yang bernilai tinggi.
#sejarawan Kedah #Kedah #Wan Shamsuddin Mohd Yusof #Persatuan Sejarah Malaysia #jenazah #meninggal dunia #tokoh sejarawan Kedah