Jeneral Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang baharu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada Jumaat.


Beliau berkata pelantikan Mohd Zahidi berkuat kuasa 3 Ogos 2018.

Sebelum ini, Mohd Zahidi telah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 39 tahun dan memegang pelbagai jawatan penting di peringkat operasi serta kementerian.

Beliau dilantik sebagai Panglima ATM dari 1 Jan 1999 sehingga beliau bersara pada 30 April 2005. Beliau kemudian melibatkan diri dalam sektor korporat.

Mohd Zahidi ketika ini adalah Pengerusi Affin Bank Berhad dan memegang jawatan pengarah bagi beberapa syarikat lain.

Beliau memegang ijazah Sarjana Sains (Pengajian Pertahanan dan Strategik) dari Quaid-I-Azam University di Islamabad, Pakistan dan telah menghadiri Program Eksekutif Kanan di Harvard University di Massachusetts, Amerika Syarikat, Command and General Staff College di Filipina, Joint Services Staff College di Australia dan National Defence University, Pakistan.