Keaadan berjerebu di Pulau Pinang mencecah paras tidak sihat sejak pagi tadi apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara ( IPU) melebihi paras 100.
Dua kawasan di Seberang Jaya dan Seberang Perai mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sehingga jam 3 petang iaitu masing-masing 120 dan 109 .
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dalam kenyataannya memaklumkan untuk bahagian pulau, bacaan IPU berada pada tahap sederhana iaitu Minden (96) dan Balik Pulau (93).
Menurutnya, keadaan berjerebu yang dialami di negeri itu sekarang berpunca dari pencemaran jerebu yang merentasi sempadan dari Kalimantan dan Sumatera, Indonesia berikutan angin Monsun Barat Daya yang bertiup ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinegeri itu diminta untuk menggurangkan aktiviti luar buat sementara dan memakai “face mask” semasa berada di luar bangunan serta minum air banyak pada musim panas ini.
Phee berkata, kerajaan negeri juga telah menyediakan 20,000 helai “face mask” kepada semua wakil rakyat untuk diedarkan kepada Rakyat di kawasan masing-masing.
Sementara itu, pihaknya memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan persendirian dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.
Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kompaun maksimum sebanyak RM 2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.
IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).
Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, orang ramai boleh layari laman web apims.doe.gov.my